Isnin, Jun 12, 2017

Buka Dulu Baru Doanya

Sekadar mengisi ruang masa dengan memperhalusi satu permasalahan yang disebut dalam kitab-kitab fiqh kita. Masalah berhubungkait dengan doa berbuka, namun dalam ruang ini, faqir tidak berhasrat untuk mempolemikkan antara doa sahih dan doa dhaif, tak kuasa nak layan, yang penting kalau dhaif sekalipun tiada siapa daripada kalangan ulama yang muktabar mengharamkannya.

Apa yang hendak diperkatakan adalah tertib yang dianggap paling utama untuk melaksanakan doa-doa berbuka tersebut. Dengan kata "tertib yang awla" bukanlah maksudnya hendak menafikan harusnya dan bolehnya melakukan doa-doa tersebut dengan menyalahi tertib ini. Yang dikehendaki hanyalah untuk menjelaskan perincian yang terkandung dalam kitab-kitab fiqh mengenai hal tersebut.

Pada kebiasaannya, orang kita setelah beduk berbunyi menandakan masuknya waktu untuk berbuka, maka mereka akan terus membaca doa berbuka yang masyhur lagi ma'ruf yang bermula dengan "Allahumma laka shumtu ..." dan setelah itu barulah mereka berbuka dengan makan tamar atau minum air. Ini adalah satu perbuatan yang baik lagi terpuji dalam ketentuan syarak yang mulia. Namun dalam kitab-kitab ulama kita dinyatakan bahawa tertib yang awla adalah berbuka dahulu dan setelah menunaikan syarat berbuka dengan makan dan minum seumpama tamar dan air barulah kita mendatangkan doa berbuka tersebut. Untuk lebih jelas, kita lihat dahulu apa yang ditulis oleh ulama yang lebih hampir kepada kita di Nusantara, Mawlana Syaikh Arsyad al-Banjari rahimahullah  yang menulis dalam kitabnya yang masyhur Sabilal Muhtadin  sebagai berikut:-


(Dan sunnat) kemudian daripada berbuka puasa membaca (Allahumma laka shumtu wa `ala rizqika afthartu) yakni Hai Tuhanku keranaMu jua aku puasa dan atas rezekiMu aku berbuka puasa. (Dan lagi) sunnat membaca (Allahumma dzahabazh zhamaa-u wabtallatil 'uruuqu wa tsabatal ajru, in sya Allahu ta`ala) yakni Hai Tuhanku telah hilanglah dahaga dan basahlah sekalian urat dan sabitlah pahala, in sya Allahu ta`ala).
Jadi doa tersebut dianjurkan untuk dibaca setelah berbuka puasa, yakni setelah memakan sesuatu sebagai syarat berbuka. Dalam kitab-kitab turats yang berbahasa Arab. kalimah `aqibal fithr yang ertinya adalah "selepas berbuka" atau "setelah berbuka" atau "sejurus mengiringi berbuka" digunakan, walaupun kalimah `indal fithr yang ertinya "ketika berbuka" turut digunakan. Namun daripada penjelasan para ulama kita faham bahawa kalimah `indal fithr itu maksudnya adalah `aqibal fithr. Ini jelas disebut dalam Fathul Wahhab dan Hasyiah al-Jamal dengan nas yang hampir sama di mana dinyatakan sebagai berikut:-
(Dan) bahawasanya (dia membaca (`aqiba) selepas) adalah lebih awla daripada perkataannya (`inda) ketika ( berbukanya: Allahumma laka shumtu wa `ala rizqika afthartu) [yakni membaca doa tersebut selepas berbuka adalah lebih awla daripada membaca ketika berbuka, iaitu sebelum berbuka].
 Penjelasan yang serupa dapat dijumpai dalam Minhajul Qawwim yang menyatakan:-
 (dan) mustahab (bagi orang yang berpuasa berdoa (`indahu) ketika berbuka) yakni (ba'dal fithr) selepas berbuka (Allahumma laka shumtu wa `ala rizqika afthartu).....
Dan sebagai penutupnya kami datangkan juga perkataan Sidi Syatha ad-Dimyathi dalam 'I`aanatuth Thalibin sebagai berikut:-

(Dan perkataannya: dan dia sunnat berdoa) iaitu orang yang berbuka (dan perkataannya: (`aqibal fithr) selepas berbuka) iaitu selepas sesuatu yang menghasilkan dengannya perbuatan berbuka, dan bukannya sebelumnya dan bukan juga ketika (yakni menyertainya) (perkataannya : Allahumma laka shumtu) .....
Oleh itu, diharap jelas bahawa doa berbuka tersebut didatangkan setelah berbuka dan bukannya sebelum berbuka dan bukan juga ketika berbuka. Inilah yang awla. Berbukalah dulu, makan dulu buah tamarnya, kunyah biar lumat, kasi telan biar masuk dalam perut, selepas telan barulah kita berdoa: Allahumma laka shumtu, wa `ala rizqika afthartu (Ya Allah, keranaMu aku telah menjalani ibadah puasa dan atas rezekiMulah aku telah berbuka). Manakala ketika menunggu waktu berbuka, banyakkanlah doa - doa lain yang elok dan baik kerana itu antara masa yang mustajab berdoa. Ketika berbuka bacalah basmallah  dan doa makan sekadarnya, kemudian setelah berbuka seperti di atas barulah membaca doa berbuka. Inilah kaifiat yang awla bagi mendatangkan doa berbuka puasa sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama.

Rabu, Mac 22, 2017

Doa A`izzah

Dahulu rangkaian doa ini atau yang seumpamanya adalah antara doa yang tak pernah tinggal dibaca oleh tuan khatib ketika berdoa dalam khutbah yang kedua. Doa ini dikenali sebagai Doa al-A`izzah yakni doa untuk memohon kemuliaan bagi Islam dan umatnya. Isi kandungan doa tersebut adalah : "Ya Allah, berikanlah kemuliaan kepada Islam dan kaum muslimin, hinakanlah kesyirikan dan kaum musyrikin dan hancurkanlah musuh-musuhMu, iaitu musuh-musuh agamaMu."

Namun semenjak dua menjak kebelakangan ini, faqir dapati doa ini telah ditiadakan dalam khutbah-khutbah rasmi Jabatan Agama Islam Sarawak. Entah siapa punya angkara, dan diganti dengan doa-doa lain berbahasa Melayu. Dan tambah peliknya doa berbahasa Melayu itu hanya mendoakan agar taufik dan hidayah diberikan kepada pemimpin-pemimpin Islam sahaja. Kenapa doa agar diberikan taufiq dan hidayah tersebut tidak diumumkan sehingga turut meratai kepada yang bukan Islam. Bukankah elok dan baik jika golongan yang bukan Islam juga didoakan agar mendapat bahagian daripada taufik dan hidayah Allah, mudah-mudahan mereka dibukakan hati untuk menerima Islam sebagai cara hidup mereka. 

Jumaat, Februari 24, 2017

Basmallah Ketika Wudhu

Di antara perkara yang sunnat ketika berwudhu adalah memulakannya dengan menyebut nama Allah, yakni dengan lafaz basmallah, samada lafaz yang biasa dan utama iaitu bismillahir rahmanir rahim atau bismillahi wal hamdulillah atau semata-mata bismillah. Bahkan jika seseorang terlupa untuk membacanya di permulaan berwudhu, maka sunnat mendatangkannya pada ketika sedang berwudhu, selagimana wudhunya belum selesai, samada dengan lafaz yang lazimnya tadi atau dengan lafaz bismillahi awwalan wa akhiran atau bismillahi awwaluhu wa akhiruhu atau yang seumpamanya. Dalam mazhab kita, meninggalkan bacaan basmallah dihukumkan makruh, namun wudhunya tetap sah. Ini berbeza dengan pendapat Mazhab Hanbali yang menghukumkan wajib membacanya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam "al-Mu'jam ash-Shaghir" dan "al-Mu'jam al-Awsath" bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam berpesan kepada Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu `anhu dengan sabdanya: "Wahai Abu Hurairah, apabila engkau berwudhu maka ucapkanlah bismillahi wal hamdulillah, maka sesungguhnya malaikat hafazahmu tidak henti - henti menulis bagimu pahala kebajikan sehinggalah engkau berhadas daripada wudhu tersebut (yakni sehingga wudhu tersebut batal)." Para ulama hadits berbeza pendapat tentang darjat hadis ini, ada yang menghukumkannya dhaif dan ada yang menghukumkannya sebagai hasan.

Imam Nuruddin 'Ali al-Haitsami rahimahullah dalam karyanya yang masyhur "Majma` az-Zawaaid wa Manba` al-Fawaaid", juz 1, halaman 220, dalam "bab at-Tasmiyyah `indal wudhu`" menukilkan hadis tersebut sebagai berikut:-

Daripada Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu `anhu yang berkata bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Wahai Abu Hurairah, apabila engkau berwudhu maka sebutlah bismillah wal hamdulillah, nescaya malaikat penjagamu tidak putus-putus menulis pahala kebajikan bagimu sehinggalah engkau berhadas daripada wudhu tersebut." Diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani dalam "ash-Shaghir" dan sanad-sanad hasan.
Imam Ibnu `Iraq al-Kinani rahimahullah dalam "Tanzih asy-Syari`ah al-Marfu`ah", juz 2, halaman 70 juga telah memberikan komentar terhadap hadis tersebut dan zahirnya beliau tidak bersetuju dengan penilaian munkar oleh Imam adz-Dzahabi rahimahullah. Beliau juga dinukilkan dalam kitabnya tersebut satu riwayat daripada asy-Syirazi dalam "al-Alqaab" daripada Sayyidina Abu Hurairah radhiyaAllahu `anhu bahawa : "Sesiapa yang membaca basmallah  dalam wudhunya, dua malaikat pencatat amalannya tidak putus-putus mencatat pahala kebajikan baginya sehinggalah dia berhadas daripada wudhunya itu."

Isnin, Februari 06, 2017

Faedah Daripada al-'Azizi

Kadang-kadang, tak semena-mena, telinga kita berdenging sekejap. Maka ketika itu, kita disunnatkan untuk melakukan 3 perkara, iaitu (i) menyebut dan ingatkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seperti katanya Muhammad Rasulullah; (ii) bershalawat ke atas baginda seperti dikatakannya Allahumma shalli wa sallim 'ala Muhammad; dan (iii) membaca satu doa yang ma'tsur berbunyi :- "dzakaraAllahu man dzakarani bi khair" (atau dalam satu riwayat "dzakaraAllahu bi khairin man dzakarani" dan dalam satu lagi riwayat "Allahummadz-kur bi khairin man dzakarana bi khair"yang bererti "Semoga Allah mengingati dengan kebajikan akan orang yang menyebut atau ingatkan aku". Sebagaimana dianjurkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Rafi`, maula Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ulama berikhtilaf pada darjat hadis ini, sebahagiannya menghukumnya hadis munkar (dhaif jiddan), sebahagian lain menghukumnya sebagai hadis hasan, manakala sebahagian lagi menghukumkannya sebagai hadis dhaif dan diamalkan dalam bab fadha`il. Walau apa pun ikhtilaf yang berlaku di kalangan para ulama tadi, cukuplah bagi kita bahawa amalan ini telah dianjurkan oleh para ulama kita seperti Imam Ibnus Sunny, Imam al-Ghazali, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bazzar, Imam ar-Ruyani, Imam as-Sayuthi, Imam as-Sakhawi, Imam al-Jazari dan ramai lagi rahimahumullahu ta`ala jami`an, bahkan Imam an-Nawawi rahimahullah turut menukilkan riwayat ini dalam kitab beliau yang masyhur "al-Adzkar".

Syaikh Ali bin Ahmad bin Nuruddin al-'Azizi rahimahullah dalam syarahnya atas Jami`ush Shaghir yang berjodol "as-Siraajul Muniir" pada halaman 148 ketika membicarakan tentang hadis tersebut telah menukil daripada Imam al-Munawi rahimahullah yang menyatakan bahawa berdengingnya telinga adalah isyarat bahawa sampai berita baik kepada roh, iaitu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menyebut orang yang telinganya berdenging tadi dengan kebaikan di sisi para malaikat yang tinggi darjatnya (al-mala-ul a'laa) di alam arwah. Namun, hanya Allah subhanahu wa ta`ala sahaja yang mengetahui hakikat sebenarnya. Yang penting, adalah bershalawat dan berdoa ketika telinga berdenging sebagaimana anjuran tersebut, jangan buat bodo je.

Isnin, Januari 23, 2017

Mengulangi Shalat Jenazah

Hukum mengulangi shalat jenazah bagi seseorang yang telah pun shalat jenazah atas jenazah yang sama, menurut qawl yang ashah dalam Mazhab asy-Syafi`iyyah adalah khilaaful awla. Maka perbuatan seseorang mengulangi shalat jenazahnya ke atas jenazah yang sama adalah perbuatan yang dianggap menyalahi yang lebih utama, iaitu yang lebih utama adalah dia tidak mengulangi shalat jenazahnya ke atas jenazah yang sama. Oleh itu, adalah mustahab baginya untuk tidak mengulangi shalat jenazah tersebut, sebagaimana dinyatakan oleh Sidi Bakri Syatha ad-Dimyathi rahimahullah  dalam " I`aanathuth Thaalibin" dinukil daripada " Majmu`" Imam an-Nawawi rahimahullah.

Imam an-Nawawi rahimahullah dalam fatwa beliau yang dibukukan dengan jodol "Fatawa al-Imam an-Nawawi" atau juga dikenali sebagai "al-Masaa-ilul Mantsurah" pada halaman 44 menjelaskan perkara ini sebagai berikut:-

Apabila seseorang telah shalat atas satu jenazah secara berjemaah atau bersendirian, kemudian dia hendak mengulangi shalat jenazahnya bersama dengan jemaah lain, maka pada masalah ini ada tiga wajah pendapat ulama. Pendapat pertama yang merupakan qawl ashah, pengulangan tersebut dihukumkan sebagai khilaaful awla. Pendapat kedua, ianya dihukum makruh. Pendapat ketiga. ia dihukumkan mustahab.
Maka, jelaslah bahawa perbuatan seseorang untuk mengulangi shalat jenazahnya atas jenazah yang sama bagi kali kedua dan seterusnya tidaklah sampai kepada makruh atau haram. Ianya hanya dianggap sebagai sesuatu yang menyalahi keutamaan kerana tidak ada nas yang menghukumkan sunnat mengadakan pengulangan atau i`adah shalat jenazah oleh seseorang atas jenazah yang sama. Oleh, itu jika kita telah melaksanakan shalat jenazah, maka tidaklah perlu untuk kita mengulanginya lagi. Dan jangan pula keliru, yang dihukumkan khilaaful awla adalah bagi pengulangan shalat jenazah oleh orang yang telah melakukan shalat atas jenazah tersebut, dan bukannya melakukan shalat jenazah secara berkali-kali oleh orang atau jemaah yang berbeza.

Ahad, Januari 08, 2017

Dakwah Ustaz Taha

Ketika kencangnya dakyah Kristianisasi di Singapura sekitar tahun 1980an, maka antara usaha yang dilakukan oleh almarhum Ustaz Taha Suhaimi untuk mempertahan kesucian Agama Islam adalah dengan menulis satu buku bertujuan membuka pekung Agama Kristian. Mungkin ketika itu, buku-buku seperti ini amat kurang beredar dalam masyarakat kita kerana teknologi maklumat ketika itu tidaklah secanggih sekarang. Oleh itu, buku-buku dan perdebatan - perdebatan mengenai Islam - Kristian, seperti apa yang dilakukan oleh almarhum Syaikh Ahmad Deedat, agak sukar diperolehi. Maka atas rasa tanggungjawab dan cemburu atau ghirah pada agama, Ustaz Taha as-Suhaimi telah menyusun buku berbahasa Inggeris dengan jodol "Has The Bible Been Altered?" @ "Al-Quran Has Declared The Bible Has Been Altered." Penggunaan Bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang asing bagi almarhum Ustaz Taha rahimahullah. Jika ayahanda beliau, Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi rahimahullah dikenali sebagai ulama yang pertama menyampaikan khutbah Jumaat dalam Bahasa Melayu di Singapura, yang sebelumnya menggunakan khutbah berbahasa Arab, maka Ustaz Taha as-Suhaimi pula telah pergi selangkah lagi, dengan menyampaikan khutbah dalam Bahasa Inggeris secara berkala, kerana melihat kepada kemajmukan masyarakat Islam yang berbilang bangsa di Singapura.

Untuk lebih tersebar manfaatnya, almarhum Ustaz Taha telah menterjemah buku tersebut ke dalam Bahasa Melayu dengan jodol "Al-Quran Menyatakan Baibel Sudah Berubah". Dalam buku ini, didatangkan hujah-hujah dan juga pandangan-pandangan sarjana Kristian sendiri yang membuktikan bahawa Agama Kristian sudah tidak murni lagi ajaran Nabi Isa 'alaihis salam. Bahkan, Injil asli berbahasa Aramaic, iaitu bahasa yang digunakan oleh Nabi Isa dan umat ketika itu, sudah tidak wujud lagi. Maka segala versi kitab Bible yang ada sekarang semuanya merupakan terjemahan daripada versi Bible berbahasa Koine (yang diterjemah oleh Ustaz Taha sebagai Bahasa Greek / Grik Pasar) yang mengandungi banyak kesilapan, perubahan dan pindaan sehingga hilang keasliannya. Selanjutnya, dikemukakan beberapa kesilapan dan kesalahan dalam Bible dan perbezaan yang ketara antara kandungan ayat-ayatnya.

Allahyarham Ustaz Muhammad Taha as-Suhaimi al-Azhari, sedikit sebanyak, telah membuka mata masyarakat Islam khususnya di Singapura dalam menghadapi dakyah agama Kristian. Bukan setakat menulis dalam hal ini, almarhum juga terlibat berdialog dan berdebat dengan paderi dan penganjur agama Kristian, bahkan ada yang datang mencari beliau sehingga ke rumah untuk tujuan tersebut. Berbalik kepada karyanya tadi, antara yang dibongkar oleh almarhum, yang mungkin ketika itu hal ini tidak begitu diketahui ramai, adalah mengenai asal - usul simbol salib yang menjadi upacara ibadat penganut Kristian sekarang (yakni "sign of the cross") dan perayaan Christmas yang berasal daripada agama pagan penyembah matahari. Pada halaman 65, buku "Al-Quran Menyatakan Baibel Sudah Berubah", menyatakan:-
Menurut pakar - pakar sejarah dan bahasa Yahudi di masa dahulu seperti Moses Maimonides, Kalinski dan Herman Fulda bahawa orang - orang yang salah di masa dahulu itu tidak digantung pada POKOK, tetapi pada sebatang kayu sahaja yang dicacakkan di tanah, kerana menurut kepercayaan orang - orang Yahudi bahawa bukan sahaja orang yang kena gantung atau kena salib itu dila'nat oleh Tuhan, malah kayu yang menjadi alat salib itu pun dianggap cemar dan jijik, dan mesti ditanam...... Perkataan "pokok" yang dipakai di dalam kitab Deuteronomy itu ialah salah terjemahan. Menurut adat di masa itu, maka alat salib ialah sebatang kayu sahaja. Malahan TIDAK ada sebatang kayu lagi untuk dijadikan palang, sebagaimana yang disangka oleh orang - orang Keristien hingga sekarang. ........ 
Kayu yang berpalang itu (cross) tidak diketahui oleh orang - orang Keristien pada awal masa ugama Keristien muncul, tetapi ia mula dimuliakan dan disembah oleh orang - orang Keristien hanya pada kurun keenam Masihi di dalam gereja Narbonne di selatan negeri Perancis. 
Daripada kenyataan yang baharu tersebut tadi maka tidak ada bukti yang sah untuk menunjukkan bahawa "Isa" telah mati di atas kayu yang berpalang (cross) yang ada pada masa sekarang cross itu sudah menjadi lambang ugama Keristien bahkan juga disembah oleh orang - orang Keristien. 
Bahkan perlulah dinyatakan bahawa penyembah - penyembah matahari di masa lampau sudah pun menggunakan cross itu sebagai lambang ugama mereka sebelum datang ugama Keristien dan penyembah - penyembah matahari itu telah memuliakan dan menyembah kayu palang (cross) itu.
Kenyataan ini, dan lain - lain kenyataan lagi, seperti membesarkan hari lahir "Isa" pada 25 Disember (sedangkan "Isa" tidak dilahirkan pada 25 Disember) menunjukkan bahawa banyak daripada kepercayaan - kepercayaan dan amalan - amalan Keristien telah diambil daripada ugama menyembah matahari yang telah ada lama sebelum kedatangan ugama Keristien.
Sebenarnya banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa agama Kristian bukan lagi asli ajaran Nabi Isa alaihis salam. Kebetulan kita berada di permulaan takwim Masihi. Biasanya dalam takwim ini, tahun-tahun yang dianggap Era Kristian akan dirujuk sebagai "Anno Domini (In the year of (our) Lord)" yang dikatakan sebagai merujuk kepada Jesus, manakala tahun-tahun sebelumnya dirujuk sebagai BC (Before Christ). Sungguh pun takwim tersebut adalah takwim Masihi, namun ianya dipenuhi dengan unsur pagan, bahkan ada nama bulan dan harinya terus mengekalkan rujukan kepada dewa - dewi sembahan agama pagan yang batil, seperti January merujuk kepada Janus, March kepada Mars, May kepada Maia, June kepada Juno, Wednesday kepada Woden, Thursday kepada Thor dan Friday kepada Freya. Tidakkah ini sesuatu yang pelik, takwim yang dinisbahkan kepada "year of our Lord" tapi dipenuhi dengan nama dan simbol agama pagan. Maka tidak pelik jika gereja - gereja sekarang dipenuhi dengan patung - patung yang menjadi sembahan mereka. Maka agama Kristian sekarang tidak jauh bezanya dengan agama pagan penyembah berhala. Mudah-mudahan Allah meratakan hidayah dan taufiqNya bagi kita dan sekalian umat manusia.

Ahad, Januari 01, 2017

Maulud Habib Utsman

Kitab-kitab mawlid yang dikarang oleh ulama Timur Tengah seperti Mawlid Barzanji, Mawlid Diba`ie, Mawlid `Azb dan sebagainya sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita di Nusantara ini. Bahkan kitab-kitab mawlid tersebutlah yang biasanya dijadikan bacaan baku pengisi majlis-majlis mawlid dan keraian kita. Sekarang, ada juga yang membaca bukan kitab asal berbahasa Arab karya-karya tersebut, tetapi hanya terjemahannya sahaja yang dibaca dengan nada berlagu. Ianya dilakukan dengan alasan yang munasabah dan baik, iaitu agar kisah-kisah sirah agung Junjungan Nabi Besar Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam yang ditulis dalam kitab-kitab tersebut dapat difahami dan dihayati oleh hadirin yang tidak faham Bahasa 'Arab. Perlu diketahui bahawa membaca terjemahan itu tidaklah sama dengan membaca karya asalnya. Jika kita membaca Mawlid al-Barzanji yang asli berbahasa 'Arab, maka yang kita baca adalah karya yang dihasilkan oleh Mufti Sidi Ja`far al-Barzanji rahimahullah. Namun jika yang dibaca itu, terjemahan Mawlid Barzanji, maka pasti terjemahan Melayu itu bukanlah tulisan Sidi Ja`far, tetapi adalah karya si penterjemah mengikut laras bahasa susunan dan kefahaman si penterjemah. Ini bukanlah satu perkara yang perlu dipermasalahkan, hanya sekadar memberi pandangan singkat faqir yang dhaif ini dan faqir tujukan kepada mereka-mereka yang telah menjadikan Mawlid Barzanji sebagai amalan seperti sesetengah pengikut thariqat. Oleh itu, bagi faqir, jika amalannya membaca Mawlid Barzanji, maka maksudnya adalah membaca karya asalnya Sidi Ja`far rahimahullah tersebut dan bukan sekadar membaca terjemahannya sahaja. Namun pandangan faqir ini bukanlah untuk menyalahkan mereka yang membaca terjemahannya semata-mata, kerana pasti ketika mereka melakukannya ada maslahah dan wujud tuntunan para masyaikh mereka atas yang sedemikian. 'Ala kulli hal, semuanya atas kebajikan sesuai dengan kadar niat dan keikhlasan masing-masing, pada Allah kita berserah dan bergantung.

Dalam entri ini, faqir ingin menulis serba sedikit mengenai karya mawlid atau dalam istilah dahulu kitab maulud dalam Bahasa Melayu yang dikarang oleh seorang ulama besar alam Melayu, iaitu Habib Utsman bin Abdullah bin `Aqil BinYahya rahimahullah, Mufti Betawi. Kitab maulud karangan beliau ini lebih masyhur dengan nama "az-Zahrul Baasim fi athwaari Abil Qaasim shallaAllahu 'alaihi wa sallam", sebagaimana lazim tertulis pada cetakan-cetakan kitab tersebut yang mencatatkan sebagai berikut:-
Ini kitab pada menyatakan perihal Junjungan kita, dengan sebutan mauludnya dan mi'rajnya dan segala kelakuannya dan perkataannya dan budi bahasanya yang sekalian itu elok dan harum hingga dirupakan dengan bunga ros yang di bawah ini 
Yakni yang ada di dalam bunga ini tertulis itulah namanya ini kitab, ertinya:- "Ini suatu bunga yang harum mekar bermusim-musim, menghikayatkan perihal ayahandanya Qaasim", iaitulah Junjungan kita Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, karangan hamba yang dhaif 'Utsman bin 'Abdullah bin 'Aqil BinYahya 'afaAllahu 'anhu wa 'an walidaihi wa jami`il muslimin.
Di antara keistimewaan karangan ini adalah pengarangnya, Habib Utsman, sebelum memulakan kisah-kisah Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, beliau terlebih dahulu menyatakan segala adab-adab yang perlu dijaga ketika melaksanakan pembacaan maulud dan kitabnya ini beliau akhiri dengan membawa 9 hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Di sini faqir datangkan hadis-hadis tersebut sebagai mengambil berkat dan mudah-mudahan dapat jadi panduan hidup kita. Kata Habib Utsman rahimahullah:-
"Syahdan adapun perihal segala hadis Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam mengajarkan umatnya akan segala kebajikan dunia dan akhirat dan menegahkan segala kejahatan dunia dan akhirat, maka terlalu banyak pula tersebut pada segala kitab. Maka dinukil di sini sedikit daripada itu dengan qasad tabarruk dengan yang demikian itu. Maka adalah yang dinukil di sini 9 perkara, mudah-mudahan manfaatnya balik kepada sekalian saudara aamiin.
Perkara yang Pertama, iaitu perihal wajib menuntut ilmu yang wajib, sebab segala pekerjaan ibadat atau akad tiada sah melainkan dengan ilmu pengetahuan perihal pekerjaan itu. Maka iaitu sabdanya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam ... ertinya "Menuntut ilmu itu wajib atas tiap-tiap orang Islam." 
Perkara Kedua, pernyataan akan berbuat sembahyang dengan menyatakan dosa tinggal sembahyang dengan sengaja, iaitu sabdanya ....ertinya: "Barangsiapa meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka telah kafir ia dengan terang kafirnya", adanya.
Perkara Ketiga, perihal pernyataan membuat ayahanda bonda dengan sabdanya ....ertinya: "Bermula keredhaan Allah ta`ala pada seseorang Islam di dalam keredhaan ayahanda bondanya; Dan murka Allah ta`ala atasnya di dalam kemurkaan ayahanda bondanya."
Perkara Keempat, perihal hadis qudsi yang menyatakan perintah `azza wa jalla atas hambaNya membuat ibadah padaNya dengan janji murah rezeki iaitu .... ertinya: "Hai anak Adam, kosongkan dirimu daripada segala pekerjaan dunia kerana membuat ibadah pada Aku, nanti Aku penuhkan hatimu kekayaan dan Aku penuhkan dua tanganmu rezeki dan jangan engkau menjauhkan dirimu daripada membuat ibadah pada Aku, nanti Aku penuhkan hatimu kemiskinan dan Aku penuhkan dua tanganmu segala pekerjaan", adanya.
Perkara Kelima, perihal menuntut pencarian yang halal dengan sabdanya .... ertinya: "Bermula menuntut pencarian yang halal itu wajib atas tiap-tiap orang", adanya. Adapun pertuntutan yang wajib ini tiada dimasuk pada bilangan dunia yang dibenci oleh Allah ta`ala, adanya.
Perkara Keenam, perihal tanggungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam masuk syurga dengan tanggungan umatnya pada 6 perkara, iaitu sabdanya ... ertinya: "Bertanggung olehmu bagiku membuatkan 6 perkara ini, maka nanti aku menanggung bagi kamu masuk syurga. Pertama, benar apabila kamu bercerita. Kedua, kamu benarkan perjanjian kamu apabila berjanji. Ketiga, kamu menyampaikan segala amanah bagi yang empunya amanah apabila kamu diberi amanah. Keempat, peliharakan olehmu akan kemaluan kamu daripada membuat barang yang haram. Kelima, peliharakan mata kamu daripada melihat barang yang haram. Keenam, tegahkan tangan kamu daripada membuat yang haram," adanya.
Perkara Ketujuh, perihal pertegahan membeli barang curian, iaitu sabdanya ... "Barangsiapa membeli barang curian, pada hal ia mengetahui bahawa barang itu curian, maka telah ia mempersekutui mencuri dalam aibnya dan dalam dosanya di dalam segala kejahatannya," adanya.
Perkara Kedelapan, perihal menyatakan hal ehwal manusia di dunia dengan memberi nasihat, iaitu sabdanya ... ertinya: "Hai manusia, bercinta olehmu akan barang yang engkau cinta padanya, maka akhirnya tentu nanti engkau bercerai padanya. Dan hidup olehmu dengan sebagaimana panjang umurmu, maka akhirnya nanti engkau mati. Dan beramal olehmu dengan sebagaimana sahaja amalmu, maka nanti dibalas padamu dengan sebagaimana amalmu," adanya.
Perkara Kesembilan, perihal menyatakan besar pahalanya dua kalimah tasbih ini, dengan sabdanya ... ertinya: "Bermula dua kalimah tasbih ini ringan sebutannya atas lidah dan berat timbangan pahalanya di Hari Kiamat dan tercinta dua kalimah ini pada Tuhan yang Maha Murah, iaitu "subhanaAllahi wa bihamdih, subhanaAllahil 'Adzhim". Maka inilah penghabis ini kitab dengan ini hadis yang telah dibuatkannya oleh banyak ulama akan penghabis segala kitabnya....
Telah menjadi kebiasaan kitab - kitab mawlid, menjadikan lafaz shalawat sebagai pemisah dan bacaan di antara setiap fasal yang terkandung dalam kitab - kitab tersebut. Dalam kitab maulud Zahrul Baasim, Habib Utsman telah mendatangkan satu shighah shalawat sebagai bacaan antara setiap fasal dalam kitab maulud tersebut. Shalawat ini diterjemah oleh Habib Utsman sebagai berikut:- "Hai Tuhanku, beri shalawat atas Junjungan kami dan Nabi kami yang memberi syafaat bagi kami, iaitu Nabi Muhammad, dan atas sekalian keluarganya dan sahabatnya dan sejahtera atas sekalian mereka dan jadikan kami daripada umatnya yang terlebih baik dan yang mendapat syafaatnya di hari kemudian dengan rahmat hai Tuhan yang Amat Mengasihani, aamiin."