Selasa, Julai 26, 2005

Habib Abu Bakar Gersik

Al-Habib al-Quthub Abu Bakar bin Muhammad bin 'Umar bin Abu Bakar bin 'Umar bin Saqqaf as-Saqqaf atau lebih dikenali sebagai Habib Abu Bakar Gersik adalah seorang ulama dan waliyullah yang lahir dan wafat di Gresik, Jawa Timur. Beliau dilahirkan di Kota Besuki, Jawa Timur pada tahun 1268H menurut keterangan kitab "Tajul A'raas". Semenjak kecil beliau didikan dengan asuhan agama dan telah pergi menimba ilmu sehingga ke tanah leluhurnya di Hadhramaut, Yaman. Antara sekian ramai gurunya ialah Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi yang merupakan pengarang kitab mawlid "Simthud Durar" yang masyhur itu. Setelah kembali dari Hadhramaut, beliau telah memasuki 'uzlah selama 27 tahun, menurut keterangan kitab "Tajul A'raas", sehinggalah beliau mendapat keizinan untuk keluar kembali ke tengah masyarakat. Berhubung hal ini, maka guru beliau, Habib Muhammad bin 'Aidrus al-Habsyi berkata:- "Kami memohon dan bertawajjuh kepada Allah selama 3 malam berturut-turut untuk mengeluarkan Abu Bakar bin Muhammad as-Saqqaf dari 'uzlahnya. Setelah keluar dari 'uzlahnya, beliau ditemani Habib Muhammad al-Habsyi berziarah kepada Imam Habib 'Alwi bin Muhammad bin Hasyim as-Saqqaf. Setelah ziarah beliau dan gurunya terus ke Kota Surabaya. Masyarakat Surabaya berduyun-duyun menyambut kedatangan beliau dan Habib Muhammad bin 'Aidrus al-Habsyi berkata kepada mereka sambil menunjuk Habib Abu Bakar as-Saqqaf:- "Beliau ini adalah suatu khazanah daripada khazanah keluarga Ba 'Alawi. Kami membukakannya untuk kemanfaatan manusia, baik yang khusus maupun yang umum." Sejak itu, Habib Abu Bakar mulai membuka majlis ilmu dan zikir di kediamannya di Kota Gresik sehingga dakwahnya tersebar luas dan merata. Kitab-kitab ulama mu'tabar sentiasa ditelaah pada pengajiannya dan setidak-tidaknya beliau telah mengkhatamkan dalam majlis ilmunya tersebut 40 kali kitab "Ihya Ulumiddin" karangan panutannya, Hujjatul Islam al-Ghazali r.a. Pada malam Isnin, 17 Dzulhijjah 1376H, Habib Abu Bakar pulang ke rahmatullah dan dimaqamkan di sebelah masjid jami' Gresik. Walaupun sudah kembali ke pangkuan Ilahi, kalam-kalam beliau masih terdengar dan membekas di hati para pendengarnya. Akhlak-akhlak beliau masih menggoreskan kesan mendalam di mata orang-orang yang melihatnya. Di antara muridnya yang masyhur ialah Habib Sholeh al-Hamid (Habib Sholeh Tanggul) yang terkenal dengan kewaliannya, Syaikh 'Umar bin Ahmad Ba Raja', Kiyai Habib Ahmad bin Sahl Ba Syaiban dan ramai lagi. Mudah-mudahan Allah meredhai beliau dan memberkati kita sekalian dengan keberkatan dan keikhlasan belian. Aaamiiin....al-Fatihah.

Tiada ulasan: