Khamis, September 22, 2005

Antara Tulisan Ulama Kita Tentang Mawlid.

Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama. Kitab Berzanji telah banyak disyarahkan dalam bahasa Arab oleh ramai ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi antaranya ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal dengan gelaran Imam Nawawi al-Jawi atau Imam Nawawi ke-II yang turut dinobatkan sebagai "Sayyidul Ulama-il-Hijaz". Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dan Kiyai Agung Sayyidis-Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi Ba Syaiban. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain. Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan tulisan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah "Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin", yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul "Nazham Nuril Anam", diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46. Kiyai Agung Muhammad as-Suhaimi pula menulis dalam bahasa 'Arab mengenai kelebihan dan fadhilat membaca atau mengadakan majlid mawlid dalam kitabnya yang berjodol "an-Nafahatul-Miskiyyah fi Fadhilati Qirooati Mawlidi Khoiril Bariyyah 'alaihi afdholus sholati wa azkat-tahiyyah." (yang dicetak dalam pada 15 Muharram 1343H).

Tiada ulasan: