Sabtu, September 17, 2005

Nisfu Sya'baan

Nisfu Sya'ban datang lagi, insya-Allah, malam Isnin ini mengikut taqwim Kiyai Agung dan juga taqwim Raja Haron bin Raja Mohammad Salleh, taqwim pemerintah pun sama. Maka terdengar juga suara-suara yang tidak enak didengar, seperti mana awal tahun, maulid nabi dan lain-lain sambutan hari-hari kebesaran Islam, suara-suara ini juga akan muncul seolah-olah siaran ulangan yang tetap waktunya. Musim menghina para ulama terdahulu pun muncul lagi. Inilah masanya kononnya mengembalikan ummah ke jalan yang betul dan fikrah yang soheh. Suci dari kekotoran yang dilakukan oleh ulama dahulu. Kononnya hendak membersih dari penyelewengan yang diajarkan oleh tok-tok guru dan habaib yg mengajar kita. Na'udzubillah. Amalan pada malam Nisfu Sya'ban antara perkara yang sering kali dihebohkan bahawa ia merupakan amalan yang tertolak. Ini kerana suatu perkara baru dalam agama ini yang tidak diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam maka ia tertolak. Maka terzahirlah kelantangan pihak-pihak tertentu mengharamkan segala ibadah yang dilakukan khusus pada malam tersebut. Kita katakan bahawa terdapat malam-malam tertentu yang dimuliakan oleh Allah lebih dari malam-malam yang lain sepanjang tahun. Antara malam tersebut adalah malam Nisfu Sya'ban. Perkara ini disepakati oleh kesemua ulama terdahulu. Ini kerana terdapat hadis sohih mengkhabarkan pengampunan diberikan oleh Allah kepada semua manusia kecuali segelintir yang durhaka. Kemuliaan malam ini tidak boleh diingkari oleh sesiapa jua.Adapun amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (solat sunnah, bacaan Quran serta zikir) mempunyai sandaran-sandaran tertentu yang diperselisihkan. Secara ringkasnya, para ulama yang menganjurkannya bersandarkan kepada banyak hadis yang menceritakan amalan-amalan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri pada malam tersebut. Walaupun ada di kalangan hadis-hadis ini yang lemah, tetapi menurut mereka hadis-hadis yang sekian banyak ini menguatkan satu sama lain, selain dikuatkan pula oleh hadis kemuliaan Nisfu Sya'ban yang soheh. Selain itu para ulamak juga berpegang kepada dalil bahawa malam yang dimuliakan oleh Allah mempunyai kelebihan sendiri. Maka itu perlulah kita membuat seberapa banyak amalan yang termampu dalam mengharap keredhaan dan maghfirah Allah Ta'ala. Oleh yang demikian, perlulah kita sedaya mampu melebihkan malam Nisfu Sya'ban dari malam-malam lain dalam menggarap kemuliannya ini. Walaupun ada di kalangan ulama yang membantah amalan-amalan ini sekarang, namun bantahan tersebut adalah bantahan yang lemah. Ini kerana mereka hanya mengatakan hadis-hadis tersebut lemah dan tidak boleh dijadikan hujjah. Lantas amalan tersebut tertolak. Kita katakan amalan soleh dengan fadhailul a'mal dibolehkan (selain hadis-hadis tersebut sebenarnya sudah dikuatkan). Amalan yang dilakukan oleh generasi-generasi dari zaman salaf sehingga sekarang membuktikan kebenaran perkara ini. Lagipun ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke seluruh pelusuk dunia.Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak melanggar syara'. Samaada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu. Perkara-perkara ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah manusia lain ingin beramal sedanyanya tanpa kita sibuk menutup jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam. Malang sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan, tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam sahaja tidak endah. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri sendiri dalam ilmu yang dimiliki.Semoga kita sama-sama dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.

Tiada ulasan: