Jumaat, November 04, 2005

Puasa 6

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dilanjutkannya dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal, maka seolah-olah dia telah puasa sepanjang tahun." Puasa 6 ini boleh dilakukan secara berturut-turut 6 hari dan inilah yang afdhal dan boleh juga diputus-putuskan. Berhubung dengan meniatkan puasa qadha bersama-sama dengan puasa sunnat, maka berlaku khilaf dalam mazhab seperti berikut:-
  1. Pendapat Imam an-Nawawi :- bahawa menyertakan niat puasa qadha dengan puasa sunnat tidak boleh dan tidak sah kedua-duanya. Maka hendaklah niat puasa qadha sahaja atau puasa sunnat sahaja. Pendapat ini lebih ihtiyat (lebih berhati-hati) untuk diamalkan.
  2. Pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami:- bahawa boleh dan sah menyertakan niat puasa qadha dengan puasa sunnat dan dapat pahala ganda. Pendapat ini masyhur diamalkan.
  3. Pendapat Imam ar-Ramli:- bahawa seseorang yang berpuasa qadha jika bertepatan hari puasanya dengan hari yang disunnatkan berpuasa akan mendapat pahala puasa sunnat juga walaupun tidak diniatkan puasa sunnat.
  4. Pendapat Imam Abul Hasan as-Samhudy:- bahawa seseorang yang menyertakan niat puasa qadha dan puasa sunnat, hanya sah salah satunya sahaja.

Inilah 4 pendapat ulama dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah. Yang banyak diamalkan ialah pendapat Imam Ibnu Hajar dan Imam ar-Ramli, tetapi yang lebih ihtiyat dan lebih rajih ialah pendapat Imam an-Nawawi. Oleh itu, eloklah dipegang pendapat Imam an-Nawawi tersebut kerana takut-takut nak untung jadi rugi pulak.

Tiada ulasan: