Khamis, Jun 22, 2006

Nabi Khidhir a.s. - 1

Ikhwah, aku terbaca dalam sebuah posting geng anak Pak Wahab yang menyatakan bahawa menurut jumhur ulama Nabi Khidhir itu sudah wafat dan hanya golongan minoriti sahaja yang berpendapat bahawa Nabi Khidhir masih hidup. Sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya kerana jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah memfatwakan bahawa Nabi Khidhir a.s. masih hidup dan hanya golongan minoriti sahaja yang mengatakan baginda telah wafat. Aku nukilkan di sini tulisan Imam an-Nawawi dalam "Syarah Muslim" juzuk ke - 15, mukasurat 135 - 136 pada Bab min Fadhail al-Khidhir s.a.w., beliau menyatakan:-
  • JUMHUR ULAMA berpendapat bahawasanya dia (yakni Sayyidina Khidhir) hayyun maujudun baina adzharina (hidup dan wujud di kalangan kita, yakni di masa kita ini) dan pendapat ini telah disepakati oleh para shufi dan ahlush sholah wal ma'rifah (orang-orang ahli kebajikan dan ma'rifah). Cerita-cerita mereka mengenai melihat dan bertemu dengan baginda dan mengambil pengajaran serta bersoal-jawab dengan baginda, dan kehadiran baginda di tempat-tempat yang mulia dan tempat-tempat kebajikan adalah terlalu banyak daripada boleh dihitung dan terlalu masyhur daripada boleh ditutup. Dan telah berkata asy-Syaikh Abu 'Umar bin ash-Sholah: "Dia (yakni Nabi Khidhir) hidup menurut jumhur ulama dan orang-orang sholeh dan orang awam adalah beserta mereka dalam pegangan ini". Dia juga berkata: "Bahawasanya adalah satu pandangan yang ganjil daripada sesetengah muhadditsin pada mengingkari hal ini (yakni sebahagian ahli hadits mengingkari bahawa Nabi Khidhir masih hidup).

Jadi Imam an-Nawawi dengan jelas menyatakan bahawa JUMHUR ULAMA berpegang dengan pendapat bahawa Nabi Khidhir a.s. masih hidup dan belum mati lagi. Bagaimana rupa kehidupan baginda, Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Hidup atau matinya baginda sekarang bukanlah perkara besar dan tidak harus dijadikan perbalahan sesama umat. Nak percaya baginda masih hidup, tidak ada masalah kerana itulah pendapat jumhur ulama dan yang nak percaya bahawa baginda telah wafat pun tidak menjadi masalah kerana sesetengah ulama dan ahli hadits berpendapat sedemikian seperti Imam al-Bukhari. Dan aku nak pesan kat sini agar sesiapa yang percaya jangan pulak mudah sangat men'claim' telah bertemu dengan Nabi Khidhir. Dalam bermu'amalah dengan manusia aku teringat kalam hikmah as-Sajjad Imam Ali Zainal 'Abidin di mana dia berpesan : "Anggaplah setiap orang yang engkau temui itu Nabi Khidhir". Sebenarnya hikmah kalam ini bertujuan untuk membaikkan budipekerti serta baik mu'amalah dan mujammalah sesama anak Adam. Allahu 'alam.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum. Imam Ibn Hajar al-Asqalani juga mengatakan Nabi Khidir a.s. masih hidup di dalam kitabnya Fath al-Bari. Boleh Tuan Abu Muhammad huraikan penjelasan Imam Ibn Hajar al-Asqalani tersebut?

Abu Muhammad berkata...

Wa 'alaikumus salam wa rahmatUllah. Insya-Allah, nanti ana usahakan, bi'awnillah. Sebenarnya bukan Ibnu Hajar al-Asqalani, Ibnu Hajar al-Haitami pun ada pandangannya menyokong hayat Nabi Khidhir a.s. Inilah pegangan sebenar JUMHUR ULAMA kita.

Abu Muhammad berkata...

Wa 'alaikumus salam wa rahmatUllah. Insya-Allah, nanti ana usahakan, bi'awnillah. Sebenarnya bukan sahaja Ibnu Hajar al-Asqalani, Ibnu Hajar al-Haitami pun ada pandangannya menyokong hayat Nabi Khidhir a.s. Inilah pegangan sebenar JUMHUR ULAMA kita.