Khamis, September 21, 2006

Sholawat Ibrahimiyyah

Malam Jumaat akhir Sya'baan, Bulan Junjungan s.a.w. ini, elok jika kita memperkatakan serba sedikit mengenai sholawat yang paling agung yang diucapkan dalam sholat. Insya-Allah, untuk sholawat-sholawat lain sabar dahulu. Untuk tujuan ini aku nukilkan keterangan mengenainya daripada kitab "Afdhalush Sholawaat 'ala Sayyidis Saadaat" karangan panutan kita Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rhm. Beliau membicarakan berkenaan sholawat ini mulai mukasurat 56 sehingga mukasurat 58, dan antara katanya:-
Inilah shighah sholawat yang paling sempurna yang ma`tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi s.a.w................... Dan telah berkata Syaikh Ahmad ash-Showi bahawa Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dalam kitab-kitab beliau yang Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang mengucapkan sholawat ini, aku menjadi saksinya pada hari kiamat dan pasti aku memberi syafaat baginya." Di mana hadits ini darjatnya hasan dan segala rijalnya adalah rijal yang shohih. Disebut juga oleh sebahagian ulama bahawasanya pembacaan sholawat ini 1,000 kali akan mempastikan untuk melihat Junjungan Nabi s.a.w. dalam mimpi. Dan sholawat ini dalam hadits diriwayatkan tanpa lafaz as-siyaadah, berkata al-Imam asy-Syam ar-Ramli dalam syarah "al-Minhaj" (yakni kitab "Nihayatul Muhtaj Syarah Minhaj") yang afdhalnya didatangkan lafaz as-siyaadah kerana pada mendatangkannya menyempurnakan atas apa yang kita diperintahkan (yakni telah datang firman Allah yang memerintahkan kita membesar dan menjaga kadar kemuliaan Junjungan s.a.w.) dan menambah perkhabaran atas keadaan sebenarnya (yakni keadaan bahawasanya Junjungan s.a.w. benar-benar sayyid bagi sekalian anak Adam sebagaimana dinyatakan dalam hadits) dan ianya adalah satu adab yang lebih afdhal dilaksanakan daripada ditinggal. Imam Ibnu Hajar pula berkata dalam "al-Jawharul Munadhzdhzam" bahawa penambahan lafaz sayyidina sebelum Muhammad tidaklah menjadi kesalahan bahkan ianya merupakan satu adab pada hak Junjungan Nabi s.a.w. walaupun penambahan tersebut dilakukan di dalam sholat yakni sholat fardhu. Imam al-Qastholani dalam "al-Mawaahib" (yakni "al-Mawahibul Laduniyyah" yang masyhur) menyatakan bahawa ulama telah menjadikan ajaran Junjungan Nabi s.a.w. kepada para sahabat baginda akan kaifiat sholawat ini setelah mereka menyoal baginda sebagai dalil bahawa sholawat ini adalah seafdhal-afdhal kaifiat sholawat untuk Junjungan Nabi s.a.w. kerana bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. tidak akan memilih bagi diri baginda melainkan yang paling mulia dan paling afdhal, dan rentetan daripada yang sedemikian maka apabila seseorang bersumpah untuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. dengan seafdhal-afdhal sholawat, maka jalan untuk menunaikan sumpahnya ialah dengan mengucapkan sholawat ini, dan inilah yang dibenarkan oleh Imam an-NAwawi dalam "ar-Raudhah"....
Begitulah martabat Sholawat Ibrahimiyyah yang kita baca selepas tasyahhud dalam setiap sholat fardhu dan sunnat. Bahkan di luar sholat pun sayogia diamalkan, menjadi antara wirid sholawat kita ke atas Junjungan s.a.w. Sebahagian ulama menganjurkan jika sholawat ini dibaca dalam sholat jenazah dan di luar sholat, maka hendak ditambah ucapan salam juga untuk mengeluarkan dari kemakruhan menunggalkan sholawat tanpa salam yang sama-sama diperintahkan oleh Allah dalam ayat 52 surah al-Ahzab tersebut. Apa yang kita perlu faham ialah kemakruhan yang dinyatakan ulama ialah pada perbuatan menunggalkan sholawat tanpa salam atau salam tanpa sholawat dan bukannya pada amalan mengucapkan sholawat tersebut semata-mata atau salam semata-mata tersebut. Untuk keluar dari kemakruhan penunggalan ini, maka sekurang-kurangnya sekali hendaklah diucapkan sholawat beserta salam, jika telah dilakukan sedemikian maka memadailah, walaupun ucapan-ucapan setelah itu hanya berisikan sholawat semata-mata atau salam semata-mata. Seperti dalam dalam sholat, ucapan salam kita dahulukan pembacaannya di dalam tahiyyat sebelum sholawat, maka tidaklah berlaku kemakruhan menunggalkan tersebut.

Selanjutnya para ulama kita menyebut ada 3 tempat di mana penunggalan tersebut tidak dimakruhkan. Syaikh Muhammad bin Saalim bin Sa`id BabShil asy-Syafi`i dalam kitabnya "Is`aadur Rafiiq" mukasurat 10 menyatakan bahawa tempat-tempat tersebut ialah:- (1) ucapan sholawat itu daripada kita, maka tidaklah makruh jika daripada para nabi atau para malaikat yang mengucapkannya kerana perintah ayat tersebut ditujukan kepada kita, orang beriman, dan adalah perintah untuk bersholawat dan mengucapkan salam yang sempurna (...shollu 'alaihi wa sallimu taslima); (2) Tidak makruh penunggalan pada bacaan-bacaan yang warid di mana penunggalan berlaku seperti dalam hadits yang menyebut sesiapa yang mengucapkan pada hari Jumaat 80 kali "Allahumma sholli 'ala Muhammadin 'abdika wa rasulikan nabiyyil ummiy" diampunkan baginya dosa 80 tahun", tidaklah berlaku makruh penunggalan tersebut; dan (3) Tatkala memasuki hujrah asy-syarifah yakni makam Junjungan yang mulia, maka tidaklah dimakruhkan seseorang hanya mengucapkan "as-salamu alaika, Ya Rasulallah", tanpa ucapan sholawat. Inilah 3 keadaan di mana penunggalan tidak menjadi makruh dalam mazhab kita Syafi`i.

Penambahan tersebut boleh dibuat dengan berbagai cara, antaranya dengan menyelitkan ucapan salam selepas sholawat seperti diucapkan:

...اللهم صل و سلم على سيدنا محمد

Atau, dibuat penambahan pada hujungnya, seperti:

إنك حميد مجيد و سلم تسليما.........

Atau, ikhwah boleh buat penambahan sebagaimana diajar oleh Syaikh Muhammad Ba'Asyin dalam "Busyral Karim" juzuk 1 halaman 86, di mana pada hujung ditambah seperti berikut:-

إنك حميد مجيد و سلم تسليما كثيرا طيبا مباركا فيه...
...innaka hamidu(m) majiid, wa sallim tasliiman katsiiran thoyyiban mubaarakan fih.

Mudah-mudahan dah manfaatnya buat diriku dan kalian serta sekalian muslimin. Aamiiin.




Tiada ulasan: