Rabu, Mac 28, 2007

Rahmat Disyukuriٌٌ

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ
فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ

Katakanlah dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah (dengan itu) mereka bergembira

Para ulama tafsir telah memberikan berbagai tafsiran bagi kalimah "fadhlUllah" dan "rahmat". Sungguh kelebihan dan rahmat Allah itu berbagai-bagai, oleh itu tidak terbatas dengan satu perkara atau satu tafsiran sahaja. Sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa erti "fadhlullah" itu adalah ilmu dan "rahmat" itu adalah Junjungan Nabi s.a.w. sebagaimana dinyatakan oleh Imamuna as-Sayuthi dalam tafsirnya "ad-Durrul Mantsur" bahawa Abu Syaikh telah menyatakannya sebagai salah satu tafsiran antara beberapa tafsiran yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Abdullah ibnu 'Abbas radiyAllahu 'anhuma. Sungguh Junjungan Nabi s.a.w. adalah satu rahmat yang dianugerahkan Allah kepada sekalian alam. Bahkan baginda adalah rahmat Allah yang paling agung sebagaimana firmanNya:-

وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
"Dan tidaklah Kami utuskan engkau (yakni Junjungan Nabi)
melainkan sebagai rahmat bagi semesta alam."

Junjungan Nabi s.a.w. juga telah menyatakan dalam hadits baginda yang mulia:-

يا أيُّها الناسُ إنما أَنَا رحمةٌ مهداةٌ
"Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah rahmat yang dikurniakan (yakni dikurniakan Allah kepada kamu sekalian)"

Oleh itu sewajarnya kita bergembira dengan anugerah rahmat Allah ini. Antara cara untuk menyatakan kegembiraan ini adalah dengan selalu bahkan sentiasa ingat dan memperingati Junjungan Nabi s.a.w. dan tidak dapat dinafikan bahawa majlis pembacaan mawlid adalah satu majlis di mana Junjungan Nabi s.a.w. diperingati, disebut-sebut, dipuji, disanjung, dikenali, dicintai justru diikuti sebagai contoh teladan yang paling unggul. Majlis di mana nama Junjungan s.a.w. adalah satu majlis yang besar, yang agung lagi harum semerbak baunya, sebagaimana penjelasan ulama.

Sayyidul Ulama-il-Hijaz Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahUllah dalam "ats-Tsimaarul Yaani`ah fir Riyaadhil Badii`ah" halaman 92 menyatakan bahawa antara masa dan tempat yang diharapkan kabulnya doa permohonan kita ialah pada perhimpunan-perhimpunan kebajikan (majaami-`ul-khair) seperti majlis-majlis pembacaan mawlid Junjungan Nabi s.a.w. Oleh itu, selalulah menghadirkan diri dalam majlis-majlis mawlid dengan memperbanyakkan ucapan sholawat dan salam serta mendoakan kebajikan diri dan umat sekaliannya.

Jika ada yang tidak suka hadir, maka biarkanlah mereka dengan pendapat dan pandangan mereka, dan harap-harap mereka juga akan membiarkan kita beramal dengan tenang tanpa cemohan dan sindiran, tanpa fitnah dan tohmah. Ada kita dengar orang yang bila tengok kita puji Junjungan Nabi s.a.w. dia tuduh kita mendewa-dewakan Nabi, dia kata kita menyamakan Nabi dengan Allah, subhanAllah. Sungguh, pencela dan pentohmah ini wujud dalam masyarakat kita, dulu dia kutuk kita sebab dia kata kita mudah-mudah je tuduh orang Wahhabi, sekarang dah berbalik kat deme plak yang bermudah-mudah menuduh syirik, sesat dan bid`ah kat orang lain, hatta tuduhan dibuat kepada para ulama dan habaib yang kita sepatut muliakan.

Oleh itu, janganlah ikhwah terpedaya dengan dakyah golongan Wahhabi-Khawarij yang suka membid`ahkan amalan orang lain. Kita ada pegangan kita dan ada ulama yang menjadi sandaran kita, bukan satu, bukan dua tetapi ramai dan amalan ini bak kata al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Nuruddin telah diamalkan zaman berzaman oleh bukan sahaja orang awam tetapi para ulama umat ini. Hanya orang yang "fi 'aqlihi syai`" sahaja yang akan kondem amalan yang telah dipandang baik oleh umat ini. Tapi jika kita nak berbahas dengan geng-geng ni, maka habis umur kita untuk tujuan tersebut dan sia-sia masa kita. Apa yang penting kita tetap menyatakan pegangan kita, ulama kita, hujjah kita, dan kita nasihatkan depa agar berlapang dada dengan benda-benda khilafiyyah ini dan hentikan fitnah dan tohmah terhadap amalan dan ulama kita.

Allahu ... Allah, daripada aku membebel kat depa tu, elok tulis benda lain dan biarlah si luncai dengan muftinya terjun dengan labu-labu meke. Marilah kita lihat kalam Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya masyhur berhubung kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w.:-
في فضل الصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم
ثبت عنه صلى الله عليه وسلم أنه قال: «من صلّى علي صلاة صلى الله عليه بها عشراً». وقال سهل بن عبد الله: الصلاة على محمد صلى الله عليه وسلم أفضل العبادات، لأن الله تعالى تولاها هو وملائكته، ثم أمر بها المؤمنين، وسائر العبادات ليس كذلك. قال أبو سليمان الداراني: من أراد أن يسأل الله حاجة فليبدأ بالصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم، ثم يسأل الله حاجته، ثم يختم بالصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم، فإن الله تعالى يقبل الصلاتين وهو أكرم من أن يرد ما بينهما. وروى سعيد بن المسيّب عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه أنه قال: الدعاء يُحجَب دون السماء حتى يصلّى على النبيّ صلى الله عليه وسلم، فإذا جاءت الصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم رفع الدعاء. وقال النبي صلى الله عليه وسلم: «من صلّى عليّ في كتاب لم تزل الملائكة يصلون عليه ما دام اسمي في ذلك الكتاب»..انتهى

Pada menyatakan kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Telah sabit bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang bersholawat ke atasku sekali, Allah akan merahmatinya sepuluh kali."

Telah berkata Sahl bin 'Abdullah: "Bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. adalah suatu ibadah yang paling utama, kerana Allah membuatnya dan begitu juga para malaikat, kemudian diperintahkanNya orang-orang beriman untuk melakukannya, sedangkan untuk ibadah-ibadah lain tidaklah begitu."

Telah berkata Syaikh Abu Sulaiman ad-Darani: "Sesiapa yang hendak memohon kepada Allah bagi sesuatu hajat, maka hendaklah dia memulakan permohonannya itu dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. kemudian mengemukakan permohonannya dan ditutup permohonannya itu dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. lagi. Maka bahawasanya Allah pasti menerima dua sholawatnya tadi dan Dia lebih pemurah untuk turut menerima apa-apa permohonan yang diajukan antara dua sholawat tersebut."

Dan telah diriwayatkan daripada Imam Sa`id ibnu al-Musaiyib bahawa Sayyidina 'Umar r.a. berkata: "Doa itu terdinding tidak dapat naik ke langit sehingga si pendoa bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w., maka apabila datang sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. diangkatlah doa tersebut."

Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang bersholawat ke atasku dalam kitab, maka tak henti-henti para malaikat bersholawat (berdoa) baginya selama mana namaku berada dalam kitab tersebut."

اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

Tiada ulasan: