Rabu, Mei 23, 2007

Allahu Rabbi

Allahu Rabbi atau RabbiyAllah adalah ucapan biasa di mulut orang-orang Islam yang beriman. Ucapan tersebut membawa maksud " Allah Tuhanku", dan bagi orang yang beriman jika dikatakan Allah itu Tuhan, maka sudah tentu ketuhanan sebagaimana dimaksudkan dan dikehendaki oleh ajaran tawhid yang dibawa oleh Junjungan Nabi s.a.w.

Ikhwah, Imam at-Tirmidzi telah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
ما من عبد مسلم يقول: حين يصبح وحين يمسي ثلاث مرات
رضيت بالله رباً وبالإسلام ديناً وبمحمد صلى الله عليه وسلم نبياً
إلاّ كان حقاً على الله أن يرضيه يوم القيامة
Tidaklah seseorang Muslim yang berkata tatkala berpagi-pagi dan berpetang-petang 3 kali: "Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan (Rabb), Islam sebagai agama dan Muhammad s.a.w. sebagai nabi", melainkan menjadi hak bagi Allah meredhainya pada hari kiamat.
Imam an-Nawawi dalam kitabnya "al-Adzkar" mengomentari hadits ini dengan menyatakan bahawa ianya diriwayatkan dalam kitab Imam at-Tirmidzi daripada Tsauban r.a. Pada sanadnya ada perawi yang bernama Sa`iid bin al-Marzabaan Abu Sa`ad al-Baqaal al-Kufi yang merupakan maula bagi Hudzaifah bin al-Yamaan dan perawi ini adalah seorang yang dhoif dengan ittifaq para hafiz hadits. Akan tetapi Imam at-Tirmidzi menilai hadits ini sebagai hasan shohih gharib daripada wajah ini, barangkali hadits ini sahih di sisinya menerusi jalan sanad yang lain. Selanjutnya Imam an-Nawawi telah membawa penguat hadits tersebut dengan riwayat hadits yang seumpamanya daripada Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa-i dengan segala sanad yang elok bagus (jayyid) daripada seorang lelaki yang pernah menjadi khadam Junjungan Nabi s.a.w. Manakala Imam al-Haakim dan Imam Abu Abdillah dalam "al-Mustadrak 'ala ash-Shohihain" juga telah meriwayatkan hadits ini dan menyatakan bahawa segala sanadnya adalah shohih. Begitulah antara komentar Imamuna an-Nawawi berhubung sanad dan kekuatan hadits tersebut.

Lihatlah wahai 'Uqala`, hadits ini menunjukkan kebatilan orang yang cuba memisah-misah dan membahagi-bahagi tauhid sehingga dikatakannya bahawa tauhid uluhiyyah itu satu suku dan tauhid rububiyyah itu suku yang lain. Allahu ... Allah, sedangkan kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah tetap berpegang bahawa tauhid itu wahid (satu), Allah itu adalah Rabb dan Ilaah, tanpa perlu disuku-sukukan. Tidaklah kita berpegang dengan ajaran yang kononnya orang musyrik itu mentauhidkan Allah secara rububiyyah tetapi tidak secara uluhiyyah. Ini adalah dakwaan batil, ajaran bid`ah yang telah dipelopori oleh segelintir serpihan umat ini. Nanti bila masuk kubur pun Munkar dan Nakir akan tanya kita "man Rabbuka?", idak pung deme tanya kita "man Ilaahuka?". Jika Rabb dan Ilaah itu berbeza, dan jika dikatakan bahawa orang musyrik pun percaya Allah sebagai Rabb, maka kenapa kita ditanyai mengenai Rabb, sewajarnya kita ditanya mengenai Ilaah atau kedua-duanya sekali, kerana mengikut pemahaman puak tauhid tiga dalam satu itu, tidak memadai kita beriman dengan Allah sebagai Rabb sahaja kerana Rabb dan Ilaah itu dua perkara yang berbeza.

Lihat dalam hadits tersebut Junjungan Nabi s.a.w. mengajar kita untuk mengucapkan dan mentasdiqkan bahawa kita redha Allah sebagai Rabb. Jika orang musyrik pun dikatakan percaya dan mengimani juga Allah sebagai Rabb mereka, maka kenapa Junjungan mengajar kita untuk mengucapkan "aku redha Allah sebagai Rabb (radhitu billahi Rabban) ? Kenapa Junjungan s.a.w. tidak mengajar kita untuk mengucapkan "aku redha Allah sebagai Ilah (radhitu billahi Ilaahan) untuk membezakan kita dengan orang musyrik yang kononnya turut percaya Allah sebagai Rabb juga. Atau Junjungan Nabi s.a.w. mengajar kita untuk melafazkan (radhitu billahi rabban wa ilaahan) Fikirkanlah wahai 'Uqala` dan se lagi, jangan pulak memandai nak tambah wa bil Islamil Hadari diinan, itu Nabi tak ajar.

1 ulasan:

amni berkata...

"dan se lagi, jangan pulak memandai nak tambah wa bil Islamil Hadari diinan, itu Nabi tak ajar."

yaaa betull... saya pon tak penah blajar gtu..