Rabu, Julai 04, 2007

Makan Hol

"Makan Hol" kalau di tempat aku merujuk kepada kenduri arwah yang diadakan sempena memperingati ulang tahun pemergian seseorang ke rahmat Allah ta`ala. Sebenarnya peringatan sebegini bukan sahaja dilakukan oleh orang kampung aku, tapi juga di lain-lain tempat, bahkan di Pahang dan Johor ada "Hari Hol" yang diisytiharkan sebagai cuti. Hol atau yang tepatnya "haul" merujuk kepada genap pusingan masa setahun. Persoalan kenduri arwah telah banyak diperkatakan dalam entri-entri terdahulu, jadi malaihlah eden nak ngulangnye laie, bolehlah ikhwah yang berhajat merujuknya kembali. Sekarang persoalan "Makan Hol" yang aku nak sentuh sedikit. Sebenarnya, perbuatan memperingati kewafatan seseorang pada setiap tahun, sama ada berbetulan dengan tarikh kewafatannya atau tidak, menurut ulama kita mempunyai dasar. Antaranya ialah berlandasakan kepada perbuatan Junjungan Nabi s.a.w. yang menziarahi para syuhada` Uhud pada setiap haul, lalu perbuatan baginda s.a.w. tersebut diikuti oleh para khulafa` rasyidin selepas baginda s.a.w.

Imam as-Sayuthi rhm. dalam "Syarhush Shudur" halaman 282 membawa riwayat tersebut sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Baihaqi dalam "Dala-ilun Nubuwwah" yang menukilkannya daripada Qadhi Abu 'Abdullah Muhammad bin 'Umar bin Waaqid al-Aslami (130H - 207H) atau lebih terkenal dengan gelaran al-Waaqidi, pengarang kitab "al-Maghazi" yang masyhur . Riwayat tersebut menyebut antara lain:-

Dan diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi daripada al-Waaqidi yang menyatakan bahawa adalah Junjungan Nabi s.a.w. menziarahi para syuhada` yang gugur di medan Uhud pada setiap haul (setiap genap setahun). Ketika baginda sampai ke lembah tersebut, baginda mengangkat suara baginda yang mulia untuk mengucapkan salam: "Kedamaian dan kesejahteraan sentiasa bersama kamu, disebabkan kesabaran kamu ketika hidup di dunia dahulu. Maka alangkah baik tempat kesudahan (kamu) itu." Kemudian perbuatan baginda ini telah dilaksanakan pula oleh Sayyidina Abu Bakar r.a. pada setiap haul, kemudian diteruskan oleh Sayyidina 'Umar bin al-Khatthab r.a. dan Sayyidina 'Uthman r.a....."

Begitulah sekadar untuk pengetahuan ikhwah. Jika ada yang ngak suka dengan pihak-pihak yang mengadakan peringatan-peringatan haul, maka berlapang dadalah, bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu.

Tiada ulasan: