Khamis, Mac 20, 2008

Sholawat 1000 kali

Memperbanyakkan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. adalah tuntutan agama. Orang-orang sholeh sentiasa membasahkan lidah mereka dengan berbagai ucapan mulia termasuklah sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Oleh itu janganlah kita lalai untuk bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. , lebih - lebih lagi pada masa-masa yang penuh keberkatan seperti hari dan malam Jum`at yang mulia, apatah lagi dalam bulan kelahiran Junjungan Nabi s.a.w.

Imam Abu Nu`aim dalam "al-Hilyah" dan Imam ath-Thabrani telah meriwayatkan satu atsar daripada Sayyidina 'Abdullah ibnu Mas`ud r.a. di mana beliau telah berpesan kepada Zaid ibnu Wahb sebagai berikut:
يا زيد ، لا تدع إذا كان يوم الجمعة أن تصلي على النبي صلى الله عليه و سلم ألف مرة، تقول: اللهم صل على محمد النبي الأمي

"Wahai Zaid, apabila hari Jum`at janganlah engkau tinggalkan bersholawat kepada Junjungan Nabi s.a.w. sebanyak 1000 kali, dengan katamu: " اللهم صل على محمد النبي الأمي".
Begitulah pesanan sahabat yang mulia agar umat sentiasa ingat kepada Junjungan Nabi s.a.w. dengan memperbanyakkan sholawat terutama sekali pada saat-saat yang mulia seperti hari Jum`at. Terdapat juga riwayat yang dinisbahkan oleh Imam as-Sakhawi dalam "al-Qaulul Badii`" halaman 379, kepada Ibnu Syahin, yang walaupun berdarjat dhoif tetap punya nilai untuk fadhoilul a'maal, di mana Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-
من صلى علي في يوم الجمعة ألف مرة،
لم يموت حتى يرى مقعده من الجنة


"Sesiapa yang bersholawat ke atasku pada hari Jum`at 1000 kali, tidaklah dia mati sehingga dia melihat tempatnya dalam syurga."
Sesungguhnya orang yang banyak bersholawat akan memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Tidaklah rugi bagi kita untuk banyak bersholawat walaupun riwayat di atas tidak tsabit. Marilah kita perbanyakkan sholawat.

**********************************
اللهم صل على سيدنا محمد النبي الأمي

Tiada ulasan: