Ahad, Ogos 02, 2009

Qashidah Penangkal Wabak

Para ulama kita yang terdahulu, mempunyai beberapa amalan untuk dijadikan sebab dan ikhtiar bagi menangkal wabak penyakit dan bala bencana. Di antara amalan tersebut adalah amalan-amalan yang bersangkutan dengan membesar dan memperingati serta menyebut-nyebut keagungan Junjungan Nabi SAW, baik berupa ucapan-ucapan sholawat, qashidah-qashidah pujian dan bacaan-bacaan mawlid. Antaranya telah masyhur di sisi para ulama kita yang Qashidah Burdah adalah mujarrab untuk menangkal wabak dan bencana. Syaikh Wan 'Ali Kutan rahimahUllah dalam karya beliau "Majma' al-Qashaaid wal 'Awaaid" pada halaman 3-4 menukil akan kalam Syaikh 'Abdus Salam rahimahUllah, syarih Qashidah Burdah, sebagai berikut:-
"Barangsiapa membaca akan qashidah ini atas orang sakit atau ia baca sendiri disembuh akan dia Allah ta`ala selama belum hadir ajalnya atau dibaca akan dia atas kanak-kanak nescaya sentosa ia daripada kejahatan jin dan syaithan dan Ummush Shibyaan dan daripada segala penyakit pada badan. Dan tiada menanggung akan dia oleh orang musafir atau pada matabendanya melainkan dapat laba ia dan sentosa ia daripada kebinasaan safarnya. (Dan hasilnya) dibacakan dia pada ketika turun bala seperti wabak dan tha`un dan angin ribut pada perahu dan telah kami cuba akan dia maka kami dapat akan dia mujarrab."
Allahu ... Allah, sudah tidak tersembunyi lagi keberkatan qashidah karya Imam Abu `Abdullah Muhammad bin Sa`id al-Bushiri rahimahUllah ini. Qashidah yang masyhur dengan panggilan Burdah yang mana nama karya tersebut sebenarnya adalah " al-Kawaakibud Durriyyah fi madhi Khairil Bariyyah". Sungguh qashidah ini bukan sahaja masyhur kerana ketinggian dan keindahan bahasanya serta pujiannya kepada Junjungan Nabi SAW, tetapi kerana keberkatan yang terkandung dalamnya berkat jah Junjungan Nabi SAW dan keikhlasan penyusunnya. Syaikh Abu Ali al-Banjari an-Nadwi al-Maliki @ al-Fadhil Ustaz Fahmi Zamzam hafizahUllah, antara ulama tanahair kita yang turut memperkatakan kemujaraban Qashidah Burdah sebagai penolak wabak dan penyakit. Beliau, moga Allah berikan kesihatan dan umur yang panjang kepadanya, dalam mukaddimahnya bagi terjemahan Qashidah Burdah menyatakan pada halaman 15-16 sebagai berikut:-
"..... maka terkenallah qasidah Burdah sebagai qasidah yang berkat. Di mana dengan berkat puji-pujian, salawat dan salam yang disebutkan dalam qasidah itu adalah diharapkan agar disembuhkan berbagai-bagai penyakit dan kelihatannya amalan ini sangat mujarab sekali dan menjadi satu tradisi dalam masyarakat Islam sejak dari masa hidup Imam al-Bushiri sampai hari ini. ....... Ini bukanlah bererti qasidah Burdah ini yang menyembuhkan penyakit, tetapi yang dimaksudkan ialah apabila disebut-sebutkan sifat dan ketinggian akhlak Rasulullah s.a.w. maka bertambah-tambahlah rasa kecintaan kepada Baginda dan dengan berkat Baginda yang merupakan "ubat hati dan penawarnya, keafiatan badan dan kesembuhannya", maka insya-Allah akan disembuhkan segala macam penyakit."
Syaikh Said al-Ahrasy dalam bukunya "Burdatul Bushiri bil Maghribil 'Arabiy" menjelaskan bahawa khalayak ramai bersetuju bahawa Qashidah Burdah mampu memberi ketenangan kepada pendengarnya. Oleh itu, kemasyhuran Qashidah yang berkat ini telah umum diketahui para pengamalnya. Maka selain amalan-amalan lain, tidak ada salahnya jika kita turut menjadikan amalan membaca Burdah sebagai tambahan, lebih-lebih lagi dalam kekecohan menghadapi H1N1 ini. Mudah-mudahan berkat jah Junjungan Nabi SAW, Allah peliharakan umat ini dari segala wabak dan malapetaka.

**********************************
Dokumentari Qashidah Burdah

Tiada ulasan: