Khamis, Oktober 22, 2009

Jom Haul

Alhamdulillah, acara haul Imam al-Haddad telah menjadi acara tahunan nampaknya. Moga haul beliau dijadikan sebagai media untuk mempertingkatkan keyakinan dan keimanan kita kepada agama Allah SWT. Moga dengan meriahnya majlis-majlis dzikrus sholihin ini, rahmat Allah sentiasa mencurah ke atas sekalian umat. Sungguh memperingati orang sholeh itu adalah suatu perbuatan yang kepujian. Imam as-Sayuthi rahimahUllah menukilkan dalam "Jami`ush Shoghir" pada hadits ke-4331 bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:-

"Mengingati / menyebut para nabi termasuk dalam perbuatan ibadah, mengingati orang-orang sholeh adalah kaffaarah (pelebur dosa kesalahan), mengingati mati itu adalah sedekah dan mengingati kubur itu mendekatkan kamu dengan syurga."
Hadits ini diriwayatkan Imam ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" daripada Sayyidina Mu`adz RA dengan sanad yang dinilai sebagai dhoif. Dhoif - dhoif pun hadits jugak, tetap ada kemungkinan sabdaan Junjungan SAW. Oleh itu, mari kita raikan majlis haul Imam al-Haddad dan majlis-majlis yang seumpamanya. Mudah-mudahan majlis khair ini akan menarik kepada majlis-majlis kebajikan yang lain.

Para saadah keturunan mulia titihan Junjungan Nabi SAW seharusnya mempertingkatkan lagi ketaqwaan untuk menurut jejak langkah Shohibul Haul Imam al-Haddad serta para leluhur beliau, juga leluhur mereka yang mulia. Meniti sirah perjalanan hidup mereka yang penuh dengan cahaya ilmu, makrifah dan amal ketaqwaan. Itulah yang sewajarnya dijadikan buruan dan carian kita sekalian. Ya nasab juga penting untuk diketahui, tapi jangan hanya pandai dan rajin menyusun-nyusun dan mencari susur galur nasab tetapi tidak pandai menjaga dan memelihara serta memuliakannya. Dua kali malang bagi seorang yang bernasab mulia tetapi tidak tahu menjaga dan memuliakan nasabnya sendiri ... Allahu ... Allah.

Amat sedih, bila ada yang terlalu ghairah mencari susur galur nasab sehingga lupa pula mencari ilmu yang menjadi pegangan para leluhur yang mulia. Allahu ... Allah, cari nasab rajin, tetapi cari ilmu malas, apa nak jadi ni. Nasab yang mulia itu satu keutamaan, yang sewajarnya dijadikan wasilah untuk lebih mencontohi dan mengikuti para leluhur yang mulia dalam titihan nasab tersebut. Jangan pula nasab menjadi hijab yang membantut perjalanan mencari keredhaan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Mari kita renungkan sejenak akan bait syair yang digubah oleh Shohibul Haul, Quthubul Imam, al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad rahimahUmullah:-

Jangan engkau tertipu dengan nasab sendiri;
Jangan pula berpada dengan kemuliaan leluhurmu yang wali;
Seharusnya engkau menuruti petunjuk Sang Nabi;
Junjungan Ahmad ke arah sunnah baginda menunjuki.

Akhirul kalam, jika ada kata-kata alfaqir yang mengguris hati keturunan saadah yang mulia, harap dimaafkan. Bukan tujuan alfaqir untuk itu, sekadar berpesan-pesan atas kebenaran dan kerana menuruti sabdaan mahkotanya keturunan mulia. Al-`afwu minkum.

Tiada ulasan: