Rabu, Julai 28, 2010

Hidupkanlah Malam

Allah SWT Yang Maha Mulia berfirman dalam surah al-Israa` ayat 79 yang kira-kira bererti:- "Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu - pada hari akhirat - ditempat yang terpuji." Menghidupkan malam dengan ibadah adalah satu anjuran. Ianya juga suatu riyadhah dan mujahadah yang bermanfaat dalam menguatkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta Mulia Raya. Maha Pencipta telah menjanjikan berbagai anugerah berupa rahmat, keredhaan, diterima segala pinta, ganjaran yang berganda-ganda bagi hamba yang ikhlas menjalankan ibadah malam tersebut tatkala manusia sedang seroooooonnnnnoooooooookkkkkkkkkkkk tidur atas kasur yang empuk. Masa kembali sudah semakin hampir, masihkah kita hendak menghabiskan masa yang masih berbaki dengan membuta sepanjang malam. Belumkah sampai masanya bagi kita untuk menghidupkan malam kita berkhalwat dan bertaqarrub dengan Allah SWT? Kalau tidak sekarang, bila lagi wahai roh dan jasad? Adakah hendak menunggu berpisah antara roh dan jasad, baru sibuk menangisi kerugian yang sudah pasti. ...Allahu .. Allah.

Abu asy-Syaikh dan Ibnu Hibban menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:- "Satu sholat di masjidku menyamai (ganjaran) 10,000 sholat; satu sholat di Masjidil Haram menyamai 100,000 sholat; satu sholat di ribath (perbatasan atau medan perang yang memisahkan antara kaum muslimin dan pihak musuh) menyamai 2,000,000 sholat; dan yang lebih banyak pahala daripada yang sedemikian itu adalah pahala 2 rakaat yang dilakukan seseorang hamba pada pertengahan malam."

Allahu ... Allah, adil dan pemurahnya Allah. RahmatNya sungguh amat meratai sekalian umat, bukan hanya terbatas kepada penduduk dua tanah yang mulia sahaja. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan meraih pahala yang lumayan ini. Berhubung hadits Abusy Syaikh di atas, Syaikh Sayyid Sabiq turut memuatkannya dalam "Fiqhus Sunnah" dengan penyataan bahawa bahawa hafiz al-Mundziri memuatkan hadits ini dalam kitab beliau "at-Targhib wa at Tarhib" tanpa sebarang komen.

Tiada ulasan: