Isnin, Oktober 04, 2010

Life Begins At 40 ?

Tulisan ese kali ni ese tujukan khas kepada sesiapa yang menjejaki usia 40 tahun. Kata-kata "life begins at 40" sering kita dengar, apa signifikannya usia 40 tahun ni. Sebenaqnya ramai yang bila dah sampai usia 40, perasaannya pun dah berubah, apa tidaknya kerana dah mulai memasuki usia tua. Kalau ibarat matahari, umpamanya dah nak mulai condong ke arah terbenam. Jadi untuk menyedapkan perasaan maka, terungkaplah kata-kata sedemikian. Tetapi terdapat juga kebenaran dalam ungkapan tersebut. Imamuna asy-Syafi`i RA tatkala menjejaki usia 40 tahun, beliau radhiyAllahu 'anhu berjalan dengan bertongkat. Apabila ditanya kenapa beliau bertongkat sedangkan beliau masih lagi gagah untuk berjalan tanpa tongkat. Maka Imam agung ini menjawab: "Untuk aku ingat bahawasanya aku ini seorang musafir (yakni seorang musafir yang sedang dalam perjalanan ke negeri yang abadi). " ... Allahu ... Allah, "the next life begins at 40".

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahUllah menukil sebuah hadits dalam karya beliau "Ayyuhal Walad", di mana Junjungan Nabi SAW bersabda:-

من جاوز الأربعين ولم يغلب خيره شره فليتجهز إلي النار
"Sesiapa yang melepasi umur 40 tahun, tetapi kebajikannya tidak dapat mengatasi kejahatannya, maka bersedialah dia untuk ke neraka."
Hadits yang serupa juga dinukilkan oleh Syaikhul Islam Imam al-Haddad rahimahUllah dalam "Sabilul Iddikar" pada halaman 34. Juga dinyatakan dalam karya tersebut bahawa syaitan menyapu-nyapu wajah orang yang telah mencapai usia 40 tahun tetapi kebajikannya tidak melebihi kejahatannya dan berkata : "Demi ayahku, inilah wajah yang tidak akan berjaya."

Apa yang dinyatakan dalam riwayat-riwayat di atas, bukanlah untuk memutuskan harapan atau melemahkan semangat mereka-mereka yang telah mencapai atau melepasi usia 40 tersebut. Tetapi ianya hendaklah dipandang secara positif sebagai satu motivasi dan satu peringatan agar mereka-mereka yang telah mencapai usia tersebut untuk segera kembali ke jalan yang lurus, jika sekiranya mereka telah jauh dari jalan tersebut, dan bagi yang telah berada atas jalan yang lurus, biarlah tetap istiqamah dan terus mempertingkatkan ketaatan mereka. Ini adalah kerana waktu berangkat meninggalkan dunia yang fana ini semakin hampir. Maka jika sahaja para pemuda sibuk mempertingkatkan amal bekal ke negeri baqa', maka mereka-mereka yang telah mencapai usia 40 tahun ke atas hendaklah berlebih lagi. Entah berapa lama lagi masa yang ada sebelum meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi. Bayangkanlah azabnya jika perjalanan diteruskan tanpa bekalan yang mencukupi .... Allahu ... Allah ... Rabbi sallim sallim. Maka seperti nasihat Imam asy-Sya'raani dalam "al-Bahrul Mawrud", lipatkanlah kasur kalian dan jangan tidur melainkan apabila mengantuk sangat, tingkatkan ibadah samada yang khas maupun yang umum sebagai bekalan di negeri abadi. Mudah-mudahan Allah memperbaikkan segala hal ehwal kita dan menjadikan kita tetap istiqamah atas jalan yang diredhaiNya.

Tiada ulasan: