Selasa, Mac 10, 2015

Faedah Dari Nuruzh Zholaam

Dunia ini adalah darul fitnah wal mihnah, yakni negeri tempat ujian dan pancaroba. Di sinilah kita sebagai hamba Allah yang Maha Esa menerima ujian daripadaNya. Apa jua bentuk dan rupa sesuatu perkara atau kejadian yang berlaku atau menimpa kita, semuanya adalah rupa bentuk ujian, baik jika ianya berupa kenikmatan yang disukai atau bencana malapetaka yang digeruni. Di antara rupa bentuknya perkara tersebut adalah "nikmat" yang Allah anugerahkan kepada seseorang dengan memiliki keturunan atau nasab yang mulia. Maka nasab yang mulia juga adalah satu ujian, oleh itu nasab yang mulia seharusnya dijadikan pemangkin untuk seseorang agar terus berpegang kepada ajaran para leluhur nasab tersebut, menjalani jalan mereka sehingga nanti dapat bersama mereka di akhirat sono. Namun malang seribu kali malang, jika seseorang dengan kemuliaan nasabnya menjadi terhijab daripada Allah ta`ala. Di kala yang lain sibuk mencari keredhaan Allah, dia hanya dibuai mimpi - mimpi indah dek kemuliaan nasabnya sehingga lupa untuk beramal shaleh dan menjaga kemuliaan nasabnya. Ketika dia sibuk mencanangkan agar orang sekitar memuliakan nasabnya, maka dia pula yang mencemar kemuliaan nasab dirinya tersebut. Ketika khumul menjadi pakaian leluhurnya, maka dia menggunakan "kekhumulan leluhurnya" untuk mencari kemasyhuran diri sendiri .... Allahu Allah. Di kala leluhurnya mengisytiharkan sebagai hari kegembiraan dan perayaan jika tidak diziarahi orang, maka dia sebaliknya, marah bila orang tidak menziarahinya ..... Allahu .... Allah. Di kala leluhurnya dahulu, sabar dan redha atas cemuhan, maka dia naik darah atas kritikan yang belum tentu kedudukannya. Mana akhlak leluhur tadi ..... Allahu .... Allah.... rupanya tertinggal di atas lembaran - lembaran suthur. Tatkala Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengeluarkan sabdaan yang khusus ditujukan buat anakanda baginda, Sayyidah Fathimah radhiyaAllahu `anha dan cucunda baginda, Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain radhiyaAllahu `anhuma, maka dia s.s. dan perasan bahawa sabdaan tersebut ditujukan kepada dirinya. Maka semakin jauhlah pergi angan-angannya kerana merasa dirinya telah dijamin masuk syurga. Benar dan tepat kata Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, kemuliaan nasab juga boleh menjadi satu tipuan yang memperdayakan.

Oleh itu, jika pun kita mempunyai nasab yang mulia, namun jangan hendaknya dibuai lena oleh kemuliaan tersebut. Sesungguhnya sesiapa yang menjadi sebahagian daripada nasab tersebut seharusnya memuliakan nasab tersebut dengan sewajarnya sebelum orang lain yang berada di luarnya. Dan jangan sekali-kali tertipu dengan kemuliaan nasab tersebut. Marilah kita renungi satu cerita yang dinukil oleh Sayyidul Ulama al-Hijaz, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahUllah dalam syarah beliau bagi nazam 'Aqidatul 'Awwam bagi Sidi Ahmad al-Marzuqi rahimahUllah dengan jodol "Nuruzh Zholaam". Pada halaman 30 karya tersebut dinyatakan sebagai berikut:-


".... Diceritakan bahawasanya ketika wafat Sayyidah Fatimah az-Zahra` binti an-Nabi SAW, jenazah baginda diusung ke tanah perkuburan oleh empat orang, iaitu Sayyidina 'Ali, Sayyidina Hasan, Sayyidina Husain dan Sayyidina Abu Dzar al-Ghifari, radhiyaAllahu 'anhum ajma`in. Tatkala jenazah baginda diletakkan di sisi kuburnya, maka berkatalah Sayyidina Abu Dzar: "Adakah engkau tahu siapa yang kami hantar kepadamu, inilah Sayyidah Fatimah az-Zahra` binti Rasulillah SAW, isteri Sayyidina 'Ali al-Murthada, bonda Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain." Lalu mereka mendengar satu seruan dari kubur tersebut berkata: "Bukanlah aku tempat (membangga-banggakan) kebangsawanan dan nasab keturunan. Bahawasanya aku tempatnya segala amal salih, maka tiada yang selamat daripadaku (yakni dari azab kubur) melainkan orang yang banyak kebajikannya, sejahtera hatinya (yakni hatinya bersih dari segala penyakit hati), dan tulus amalannya.
Allahu ... Allah, inilah jugalah pesanan Baginda Nabi SAW kepada anakanda kesayangannya tatkala hayat mereka di dunia, iaitu jangan hanya mengandalkan keturunan tetapi beramallah. Ini tidaklah bererti menafikan keutamaan dan fadhilat berketurunan mulia seumpama Sayyidah Fatimah radhiyaAllahu `anha, tetapi ianya adalah pengajaran agar jangan hanya mengandalkan kemuliaan keturunan dengan meninggalkan amal-amal salih dan membersihkan jiwa dari segala mazmumah. Mendidik agar sentiasa menjejaki jalan para leluhur yang mulia agar keturunan mereka juga turut mulia sebagaimana leluhur mereka terdahulu. Sungguh pelik dan mengherankan, jika ada orang yang kemuliaan keturunan dan kebangsawanannya tidaklah melebihi atau setara dengan Sayyidah Fatimah az-Zahra`, tetapi hanya bergantung dan berbangga-bangga dengan kebangsawanannya. Bukalah mata, janganlah tertipu dengan nasab keturunan, dan apa yang penting jangan bikin malu kompeni, jangan memalukan para leluhur yang mulia. Menapaklah atas tapak-tapak kesalihan mereka, agar kamu pun akan terpimpin sebagaimana mereka yang terdahulu terpimpin menuju keredhaan Allah SWT dan menjadi penyejuk mata Baginda Nabi SAW. Moga kubur kita nanti diluaskan Allah dan dijadikanNya satu taman dari taman-taman syurga ... Allahumma aamiiin bi jaahi Sayyidil Mursalin.

Tiada ulasan: