Selasa, Julai 11, 2017

Kisah Imam Zuhri

Qadhi Ibnul `Arabi (w. 543H) rahimahullah, ulama mazhab Maliki yang masyhur, dalam karya beliau `Aaridhatul Ahwadzi bi syarhi Shahih at-Tarmidzi, juz ke-2, halaman 78 -79, telah membawa sebuah kisah yang berkaitan akhlaknya para ulama salafush shalih terdahulu. Dalam syarah beliau bagi hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina `A-isyah radhiyaAllahu `anha mengenai Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam hanya melakukan sekali salam bagi shalat baginda, Qadhi Ibnul `Arabi membawa kisah Imam Ibnu Syihab az-Zuhri (w.124H) rahimahullah sebagai berikut:-

Seorang lelaki dari Iraq telah datang ke Masjid Rasulillah shallaAllahu `alaihi wa sallam lalu shalat di sisi Imam Ibnu Syihab dan dia telah mengakhiri shalatnya dengan dua kali salam, sebagaimana dalam hadis terdahulu (yakni hadis-hadis lain yang telah diriwayatkan). Maka Imam Ibnu Syihab bertanya kepadanya: "Dari mana engkau datang?" Lelaki tersebut menjawab: "Dari Kufah." Imam Ibnu Syihab bertanya lagi: "Daripada manakah datang riwayat kepadamu dengan dua salam ini?" Lelaki tersebut menjawab: "Aku telah mendapatkannya daripada Ibrahim daripada 'Alqamah daripada Ibnu Mas`ud yang meriwayatkannya."  Imam Ibnu Syihab berkata: "Aku belum pernah mendengarnya." Lelaki tersebut berkata kepada Imam Ibnu Syihab: "Siapakah engkau?" Imam Ibnu Syihab menjawab: "Aku Ibnu Syihab." Lelaki tersebut berkata lagi: "Wahai Ibnu Syihab, adakah engkau menghafal seluruh hadis Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam?" Imam Ibnu Syihab menjawab: "Tidak." Lelaki tersebut bertanya lagi: "Jika begitu, adakah engkau menghafal dua pertiga daripada segala hadis?" Imam Ibnu Syihab berkata: "Tidak." Lelaki tersebut bertanya lagi: "Jika begitu, adakah engkau menghafal separuh daripada segala hadis?" Imam Ibnu Syihab menjawab: "Ya rasanya atau satu pertiga." Maka lelaki tersebut berkata kepada Imam Ibnu Syihab: "Maka jadikanlah hadis tadi dalam dua pertiga hadis yang belum engkau ketahui." Lalu ketawalah Imam Ibnu Syihab rahimahullah (yakni beliau merasa puas hati dengan penjelasan lelaki Kufah tersebut).

Ini akhlak pewaris Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mereka tidak lekas memenangkan pegangan diri mereka walaupun darjat keilmuan mereka setinggi Imam Ibnu Syihab, seorang ulama tabi`in, Imamnya ahli Kota Madinah al-Munawwarah dan gurunya Imam Malik bin Anas radhiyaAllahu `anhu. Mereka tidak mudah untuk menyatakan bahawa semua dalil dan hadis telah mereka ketahui, ini berbeza dengan kita sekarang yang dengan mudah menyatakan: "....Ooo, ini tidak ada dalam hadis." Seolah-olah segala riwayat telah kita ketahui dan hadam. Mungkin pernyataan tersebut benar, jika yang dimaksudkan adalah tidak ada dalam hadis yang kita hafal atau ketahui, yang hanya sekadar satu dua hadis sahaja. Janganlah bermudah - mudah mengatakan "tidak ada nas" atau "nasnya tidak kuat" dan seumpamanya sedangkan ilmu usul dan kaedah istinbath pun masih bercelaru, bahkan mashadir hukum syarak pun belum kita kuasai. Apakah tidak mungkin, nas yang kita katakan tidak kuat itu sebenarnya bukanlah sandaran utama hukum tersebut kerana ada nas lain yang lebih kuat menjadi sandaran menurut ijtihad seseorang mujtahid tersebut berdasarkan kaedah usul yang beliau gunakan. Contohnya hadis Sayyidatina `A-isyah bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam salam hanya sekali sahaja diakui sebagai ma'lul (yakni dhaif) berbandingkan hadis-hadis yang sahih menyatakan bahawa Junjungan bersalam dengan dua kali salam. Namun di sisi Ibnu Syihab dan manhaj Imam Malik, yang mengutamakan amalan penduduk Kota Madinah pada zaman tersebut yang hanya salam sekali sahaja, maka ini menguatkan hadis Sayyidah 'A-isyah.  Bagi mereka amal Ahli Madinah adalah hujjah yang didahulukan berbanding hadis ahad walaupun sahih, maka mereka berpendapat sebagaimana takbiratul ihram hanya sekali, maka salam pun sekali juga. Manakala bagi mujtahidin lain seumpama Imam yang tiga, mereka mempunyai manhaj mereka tersendiri, antara lain mereka tidak bersetuju dengan manhaj yang mengutamakan amal Ahli Madinah tersebut, mereka lebih mengutamakan riwayat hadis yang sahih berbanding dengan amal Ahli Madinah, di samping kaedah lain. Oleh itu, ketika mentarjih pendapat antara mazhab, janganlah mudah untuk menyatakan pendapat muktamad dalam mazhab tertentu sebagai lemah, kerana sesungguhnya segala qawl yang dianggap muktamad dalam sesuatu mazhab yang muktabar, maka itulah qawl yang terkuat daripada mazhab tersebut berdasarkan ijtihad para ulamanya. Maka apakah hak kita untuk melemahkan qawl mereka tanpa mengetahui mashadir dan kaedah istinbath yang mereka gunakan. Apakah adil bagi kita mendhaifkan qawl mereka dengan menggunakan manhaj dan kaedah yang kita pakai tanpa mengira kaedah dan manhaj yang mereka guna? Benar, qawl Maliki tersebut adalah lemah menurut kaedah mazhab kita, namun itulah qawl yang terkuat berdasarkan kaedah mereka. Maka janganlah bermudah untuk menyalahkan orang lain, apatah lagi para ulama kita terdahulu dengan segala mazhab mereka yang muktabar yang telah berdiri seribu tahun. Berlapang dadalah dengan segala aqwal dan ikhtilaf para ulama yang muktabar dalam erti kata jangan menghina dan memperlekehkan mana-mana mazhab yang muktabar. Namun hendaklah kita berpegang dan beramal dengan salah satu mazhab daripada 4 mazhab muktabar yang dominan dalam lingkungan kita agar keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara terjamin

Tiada ulasan: